Ibu bapa merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan
anak-anak. Segala peranan yang dimainkan oleh ibu bapa memberikan impak
yang besar terhadap masa depan anak-anak. Kejayaan yang cemerlang dalam
peperiksaan utama seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM amat dinanti nantikan
oleh ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam
membantu anak-anak membuat persediaan dalam peperiksaan.
Anak-anak perlu membuat persediaan awal bak kata pepatah ‘Sediakan
payung sebelum hujan’.Ibu bapa pula dapat membantu dengan menyediakan
segala prasarana seperti bahan bacaan untuk rujukan, alat tulis dan
menyediakan kawasan persekitaran yang kondusif untuk mereka mengulang
kaji. Suasana yang harmoni di rumah juga penting agar anak-anak dapat
belajar dalam suasana yang tenang.
Selain itu, anak-anak mesti bijak membahagikan masa terutamanya apabila
menghadapi peperiksaan utama dalam kehidupan mereka. Penyediaan jadual
ulangkaji yang sempurna amat penting kerana ‘masa itu emas’. Ibu bapa
dapat membantu anak-anak menyediakan jadual waktu ini menggunakan
beberapa konsep seperti SWOT. Tambahan pula, mereka boleh memantau
segala aktiviti anak-anak agar tidak menganggu proses persiapan
anak-anak mereka mennghadapi peperiksaan.
Pemakanan makanan seimbang seperti sayur-sayuran, susu, kekacang dan
buah-buahan serta pengambilan vitamin untuk kesihatan diri dan
kecergasan juga penting kerana otak yang cerdas datangnya daripada badan
yang cergas dan sihat. Pengambilan makanan yang berkhasiat dapat
mempersiapkan diri anak-anak dari segi mental dan emosi. Sokongan
sebegini oleh ibu bapa sekali gus akan membantu mengeratkan hubungan
kasih sayang dalam diri anak-anak terhadap ibu bapa.
Di samping itu, ibu bapa harus memastikan emosi anak-anak tidak
terganggu. Mereka harus berperanan sebagai tempat anak-anak berkongsi
masalah dan perasaan. Anak-anak juga harus dilatih memperbanyak doa dan
sembahyang dalam tempoh masa terdekat sebelum peperiksaan. Semangat dan
dorongan oleh ibu bapa dapat menenangkan dan melahirkan keyakinan dalam
diri anak-anak.
Tuntasnya, orang yang terdekat dengan anak-anak ialah ibu bapa, peranan
ibu bapa sewaktu anak-anak menghadapi peperiksaan amat penting dan akan
memberi sumbangan yang besar dalam keputusan peperiksaan anak-anak.
Sehubungan itu, ibu bapa harus meluangkan masa dan tenaga dalam
menyediakan cahaya mata mereka menghadapi peperiksaan.
No comments:
Post a Comment