Golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini masih boleh dikatakan
umpama melukut di tepi gantang. Masyarakat tidak begitu mempedulikan
kehadiran mereka, sekali gus menerima nasib seperti pungguk rindukan
bulan. Orang Kurang Upaya termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan
jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila
berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh
dan berkesan mereka dalam masyarakat. Ada juga yang menjadi cacat
akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak
dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang
dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan.
Sebagai masyarakat yang cakna dan bertanggungjawab kita haruslah
membantu golongan ini menikmati hidup yang sama seperti mereka yang
normal.
Antara usaha untuk membantu OKU ialah menyediakan peluang untuk
mendapatkan kemahiran dalam bidang tertentu. Program kemahiran tersebut
sangat penting untuk melatih OKU menguasai bidang kraftangan, membaiki
kenderaan dan perniagaan. Dengan cara ini mereka akan mudah untuk
bekerja dan dapat menjana pendapatan keluarga walaupun cacat. Oleh itu,
sokongan daripada pihak kerajaan amat diperlukan untuk membangunkan
pusat-pusat latihan kemahiran OKU ini seperti Program Semai Bakti Pusat
(PDK) di bawah pengawasan Felda di seluruh Negara berjaya melatih
kira-kira 7,700 orang OKU dalam pelbagai bidang. Jelaslah kemahiran yang
dimiliki oleh OKU itu akan membantu OKU berdikari dan menyumbangkan
kepada kemajuan serta pembangunan ekonomi negara kita.
Selain itu, pihak kerajaan perlu membuka peluang untuk menyambung
pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kepada OKU. Sistem pendidikan
khas perlu diperluaskan kepada OKU yang berada di luar bandar supaya ibu
bapa yang mempunyai anak-anak ini berpeluang menyekolahkan anak-anak
mereka. Sehubungan itu, kemudahan pendidikan khas ini mestilah
ditingkatkan bagi melahirkan para pelajar yang standing dengan pelajar
yang normal. Malah pihak kerajaan juga mestilah menyediakan tempat atau
kaota pengajian di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
kepada OKU yang mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Oleh itu,
peluang ini akan meninkatkan lagi motivasi pelajar OKU untuk mengubah
nasib hidup mereka kea rah yang lebih baik pada masa akan datang dengan
ilmu yang dimiliki itu.
Di samping itu, pihak swasta pula tidak boleh mengamalkan dasar pilih
kasih semasa mengambil pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat mereka.
Mereka perlu bersikap adil kerana golongan OKU juga mampu menyumbangkan
kemahiran yang ada untuk memajukan syarikat tersebut. Di kilang
umpamanya sudah ada OKU yang bekerja sebagai operator pengeluaran,
pembantu pejabat dan kerani dimana sebelum ini kerja sebegini hanya
dilakukan oleh pekerja yang normal sahaja. Kita harus memuji Pasaraya
Besar Carrefour telah mensasarkan 5 peratus daripada pekerjanya adalah
OKU menjelang tahun 2010 nanti iaitu berjumlah kira-kira 200 orang. Oleh
itu, peluang pekerjaan haruslah dibuka kepada OKU untuk membantu mereka
mendapatkan kerja bagi menyara kehidupan keluarga mereka.
Bantuan modal juga diperlukan oleh golongan OKU untuk memulakan sesuatu
perniagaan. Hal ini demikian kerana rata-rata golongan ini adalah
terdiri daripada orang susah atau miskin. Sehubungan itu, pihak kerajaan
mestilah mengambil tindakan segera melalui Kementeriannya agar minat
OKU dalam bidang ini dapat dikembangkan dari masa ke masa. Sebagai
contoh dalam Rancangan Malaysia ke-9 kerajaan telah memperuntukan
sebanyak RM 22 juta melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU dibawah
kelolaan Kementerian Sumber Manusia. Semua OKU yang berminat boleh
membuat permohonan dan perlu mendapat sokongan daripada persatuan
masing-masing. Oleh itu, bantuan kewangan atau modal ini sangat penting
untuk membolehkan golongan ini meningkatkan ekonomi mereka tanpa
bergantung kepada pertolongan daripada orang lain.
Intihannya negara kita semakin maju ke hadapan, terutama ke arah
merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang
2020 yang memerlukan sumbangan dan komitmen semua pihak termasuk
golongan OKU untuk memberikan sumbangan kepada negara dalam menjayakan
impian berkenaan. Kita hendaklah percaya golongan OKU juga ada peranan
dan mampu memberi sumbangan bermakna andai diberi peluang dan ruang
sewajarnya. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan
golongan OKU. Sekiranya kita tidak bersungguh-sunggguh membantu golongan
ini sudah pasti mereka akan terus tersisih dalam era pemodenan Negara
menjelang tahun 2020 nanti.
No comments:
Post a Comment