Ibu bapa memainkan peranan
penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan
agama yang sempurna dalam diri anak-anak . Pepatah sering menyatakan bahawa melentur
buluh biarlah dari rebungnya . Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa
pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar
anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam
perlakuan negatif . Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk
membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan . Selain itu ,
anak-anak juga akan membesar dengan perpandukan ajaran agama . Didikan agama
yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak
dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang
mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya .
Sebagai contoh , jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong
dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang
secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga khususnya ibu
bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi memastikan anak-anak
mempunyai sahsiah yang baik . Hal ini demikian kerana anak-anak yang berusia setahun
jagung memang mudah mencontohi sebarang bentuk perlakuan orang yang lebih
dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain, sekiranya ahli keluarga yang lebih
tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi
oleh anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya
kuah kalau tidak ke nasi . Sebagai contohnya , jika ahli keluarga yang
lebih dewasa rajin membaca , sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana
demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca.
Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa kalau asal benih yang
baik jatuh ke laut menjadi pulau , terlontar ke udara menjadi kejora,
dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas
jelas menunjukkan betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh sesebuah keluarga
dalam pembentukan sahsiah anak-anak . Ibu bapa perlulah menjadi suri teladan
yang boleh dicontohi anak-anak . Ibu bapalah yang akan mencorakkan kehidupan
anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak yang dilakar menarik dan cantik ,
maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak anak-anak. Anak –anak yang sering
mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik , tidak akan sesekali cuba melakukan
sesuatu yang boleh menconteng arang atau menjatuhkan maruah keluarga.
Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah
anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa
juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama dan berkasih sayang
bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia . Dalam hal ini , ibu bapa
perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai
menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk
saling berkasih sayang . Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk
anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak
Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama
ahli keluarga tidak luput. Budaya terima kasih juga perlu diajarkan
kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan terhadap orang lain setiap kali
menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak bekerjasama
dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak membesar dalam
suasana yang saling bekerjasama . Perbuatan seperti ini akan terbawa-bawa
apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri. Jelasnya, ibu
bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan
ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan saling
menghormati.
Seterusnya, ibu bapa perlulah
mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab . Ibu bapa harus
menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih bertanggungjawab.
Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti membasuh baju,
menggosok pakaian dan menyimpan baju dalam almari . Anak-anak juga perlu diajar
supaya bersifat sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah
mereka . Hal ini amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa
bersyukur dengan apa yang dimiliki . Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai
kesederhanaan diri anak-anak di rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang
sentiasa berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja . Anak-anak yang
sudah diterapkan dengan hidup yang sederhana akan membesar sebagai seorang yang
sederhana sikapnya , tidak sombong dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara.
Anak-anak juga melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan
apa-apa balasan. Hal ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang
berpandangan jauh. Tegasnya , pembentukan sahsiah anak-anak yang
baik dapat dilahirkan sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup
yang sederhana dan bertanggungjawab .
Akhir sekali, ibu bapa perlulah memantau
serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah meningkat
remaja. Dalam hal ini , ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang dilakukan oleh
anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya anak-anak.
Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap
masa depan anak-anak kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya
dalam segala tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai
dan identiti yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang
sepenuhnya kepada anak-anak . Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi
kebebasan penuh oleh ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak
bermoral yang boleh menconteng arang di muka keluarga . Oleh itu , ibu bapa
perlulah mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap
masa agar ibu bapa boleh bertindak lebih awal, bak kata pepatah , beringat
sebelum kena , berjimat sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan
mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu
bapa bertindak awal , sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan.
Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar
dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia .
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah saya simpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak . Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik
, ibu bapa perlulah menyedari akan tanggungjawab mereka untuk mendidik
anak-anak menjadi insan yang mulia . Setiap ahli keluarga perlulah melengkapkan
diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu keibubapaan . Hal ini penting kerana
pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula dengan diri keluarga itu sendiri .
Ibu bapa harus membetulkan diri mereka terlebih dahulu agar anak-anak dapat
mencontohi segala perlakuan dan keperibadian mereka kerana mereka merupakan
“role model” bagi anak-anak. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang
subur untuk melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia. “Rumahku,
Syurgaku”
No comments:
Post a Comment