..Keperluan
membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna demi memantapkan
ekonomi negara adalah satu agenda yang berkepentingan tinggi dalam usaha
kerajaan untuk melaksanakan suatu aliran “Pengguna Perkasa”. Jika pada
suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh bertindak
menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila
menjelang sesuatu musim perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini
dengan kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya bahawa kekuatan
sebenarnya berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti
ini telah semakin berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab
ini, jika tidak dibendung dengan berkesan akhirnya akan membahayakan
ekonomi negara dan akibatnya masyarakat juga yang akan menanggung rugi.
............Jika
pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna boleh
bertindak memboikot barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan
memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat pembuat barangan
berkenaan, dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang “kuasa
pengguna”. Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para
pengguna sendiri. Contohnya apabila kita membeli tepung sekampit yang
ditulis berat bersihnya 1 kilogram, adalah wajar bagi kita menimbang
semula kampit tepung berkenaan dan memastikan bahawa berat bersih produk
berkenaan adalah benar-benar 1 kilogram. Sebagai pengguna prihatin,
kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih teliti tentang barangan yang
kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang digunakan
menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di tetapkan
oleh kerajaan? Adakah produk berkenaan mengandungi MSG? Adakah produk
itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya menepati harga
yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa
ramaikah yang akan membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin
barangan yang hendak dibeli dan membuat perbandingan harga setiap produk
yang dibeli? Isu-isu sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para
pengguna hari ini.
............Fenomena
kenaikan harga barangan keperluan ini bukanlah suatu masalah yang cuma
berlaku di Malaysia sahaja, malahan telah menjadi suatu permasalahan
global hari ini. Pada Oktober 2007, rakyat Itali telah memboikot
keluarangan barang-barang “pasta” apabila harga makanan ini naik
melebihi 20 peratus dalam masa seminggu. Hasil daripada tindakan ini
pengeluar “Pasta” terpaksa akur kepada sentimen “kuasa pengguna” Itali,
dan menurunkan semula kadar harga barangan berkenaan. Mekanisma penyebab
pada kenaikan harga barangan sememangnya berhubung rapat antara satu
sama lain. Contohnya di Mexico, apabila permintaan meningkat untuk
minyak bio-diesel yang dipanggil “Ethanol” yang dihasilkan daripada
jagung, maka harga jagung di pasaran terus melambung dan ini menyebabkan
timbulnya masalah bekalan jagung kepada penternak lembu tenusu yang
juga memerlukan jagung sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan
mereka. Ekoran ini harga susu, keju, dan mentega pula turut naik di
pasaran Mexico. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pertanian
dan Pemakanan Sedunia yang beribu pejabat di Brussels, harga pasaran
makanan sedunia pada hari ini naik sebanyak 70 peratus berbanding dengan
harga pada tahun 2000. Jadi sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu
bertindak dengan menggunakan "kuasa pembeli" mereka.
............Hakikatnya
pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi penduduk-penduduk
di negara-negara membangun dunia yang besar seperti China dan India,
maka permintaan dunia untuk barangan seperti gandum, beras, minyak masak
dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus juga
meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos
dalam proses pembuatan serta penghantaran akan terus meningkat dan ini
akan menyumbang pada peningkatan harga barangan di pasaran. Faktor cuaca
juga memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia.
Permintaan bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk
diproseskan menjadi bio-fuel atau ethanol adalah juga merupakan faktor
penyumbang kepada kestabilan harga barangan pasaran.
............Manusia
memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan iaitu makanan, pakaian dan
tempat tinggal. Akibat krisis bekalan makanan yang gagal dikawal, akan
membawa kepada kemelut kenaikan harga bekalan makanan di pasaran dan ini
akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi pada ekonomi sesebuah
negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan
lagi dalam usaha untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang
berkemungkinan akan timbul pada masa depan. Kita sebagai pengguna yang
bijak adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling
efektif untuk membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga
pasaran. Selain itu, akta undang-undang perlindungan pengguna yang
membawa kepada hukuman yang lebih drastik mestilah terus digubal demi
untuk perlindungan jangka panjang kepada pengguna.
............Kementerian
yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal
pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kementerian
terbabit demi memastikan kebajikan pengguna benar-benar terjamin. Antara
langkah-langkah berikut adalah dengan menubuhkan Stok Penimbal
Kebangsaan serta Penubuhan Majlis Harga Negara. Kerajaan juga turut
mengenakan larangan membawa keluar barangan kawalan dari Malaysia serta
memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak mereka
melalui penggubalan rang undang-undang “Akta Perlindungan Pengguna
1999” dan penubuhan Mahkamah Tribunal Pengguna. Pada masa yang sama,
kerajaan juga menggerakkan sektor pertanian negara secara aggresif
sebagai langkah membangunkan Sarawak sebagai “Negeri Jelapang Padi Kedua
Negara”.
............Tindakan-tindakan
ini telah berjaya mengawal kestabilan harga barangan di pasaran dan
juga dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang lain, telah dapat
mengurangkan kadar aktiviti penyeludupan bahan makanan ke negara jiran.
Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi langkah susulan
proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna
telah dapat dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan
kritikal ini, telah dapat membantu untuk memangkinkan lagi ekonomi
negara. Justeru marilah kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk
kesedaran tentang hak-hak kita, langsung menjalankan tanggungjawab
sosial kita dan juga memartabatkan diri kita sebagai “Pengguna Bestari”.
No comments:
Post a Comment