Belakangan
ini, soal pembinaan modal insan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama
pembangunan negara. Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia
muncul sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020,
pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan telah diberi penekanan. Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan
sejumlah besar golongan cerdik pandai bagi membolehkan negara bersaing di
peringkat global. Sehubungan dengan itu, kejayaan murid-murid dalam pelajaran
menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang
bakal memacu negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
negara-negara maju yang lain. Pada pendapat saya, pelbagai faktor yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi
kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Pembelajaran
di dalam bilik darjah merupakan faktor perdana yang mempengaruhi kejayaan
seseorang murid dalam pelajaran. Pembelajaran dan pengajaran yang berlaku
secara kondusif di dalam bilik darjah merupakan kunci utama kejayaan seseorang
murid. Bilik darjah yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik, susun atur
peralatan yang memudahkan pergerakan pelajar, memiliki ciri-ciri keselamatan,
bersih dan ceria menjadi pendorong kepada murid-murid untuk belajar dengan
selesa. Apabila murid-murid berasa selesa, mereka akan lebih fokus terhadap
pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Jadi, apabila murid memberikan perhatian di
dalam kelas, setiap perkara yang dipelajari dapat difahami dengan mudah. Menurut
kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Kaunseling di Universiti Kebangsaan
Malaysia, 70 peratus kejayaan seseorang murid adalah tumpuan di dalam bilik
darjah ketika proses pembelajaran dan pembelajaran, 29 peratus adalah inspirasi
dan 1 peratus melibatkan genius. Oleh itu, berdasarkan kajian tersebut, dapat
dirumuskan bahawa proses pembelajaran
dan pengajaran di dalam bilik darjah yang kondusif mempengaruhi kejayaan
seseorang murid dalam pelajaran.
Seterusnya,
program-program sekolah yang dirancang juga mampu mempengaruhi kejayaan
seseorang murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang oleh
Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan panitia mata pelajaran sama ada di
dalam atau di luar sekolah berupaya
mencemerlangkan murid-murid. Program-program seperti Kem Wacana Akademik, Ceramah
Teknik Menjawab , Bengkel Akademik, Cemamah Motivasi dan sebagainya mampu meningkatkan keupayaan
murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang seperti ini membolehkan
murid-murid menguasai topik-topik utama dengan mudah dan berupaya menjawab soalan
peperiksaan dengan baik. Hal ini demikian kerana mereka sudah menghadapi
soalan-soalan yang mirip peperiksaan sebenar dan telah berbincang dengan guru dalam program yang dianjurkan. Tokoh
motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fazilah Kamsah menegaskan bahawa jika seseorang
melakukan sesuatu perkara secara berulang-ulang kali maka dia mampu menghadapi
setiap cabaran dengan mudah kerana sudah melaluinya sebelum ini. Oleh itu,
jelas menunjukkan bahawa program yang dirancang oleh pihak sekolah mampu mempengaruhi
kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Selain itu, murid-murid
yang mengikuti kelas-kelas tuisyen juga mampu berjaya dalam pelajaran. Ramai
ibu bapa sekarang menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen berbayar
pada luar waktu persekolahan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran
anak-anak mereka dalam pelajaran. Mereka tidak menghiraukan tentang kos yang
perlu dibayar kepada pusat tuisyen kerana mereka mengharapkan anak-anak mereka
berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Kelas-kelas tuisyen sama ada secara
individu atau kelompok mampu meningkatkan kemahiran murid dalam pelajaran. Murid-murid
akan ditekankan oleh guru pusat tuisyen tentang teknik-teknik menjawab yang
betul dan strategi untuk mendapat markah yang tinggi. Murid-murid akan mendapat
pendedahan tersebut secara terus berbanding guru-guru di sekolah. Hal ini mampu
meningkatkan kemahiran pelajar dalam setiap mata pelajaran yang diikuti, sekali
gus mereka mampu menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang kerana peribahasa
ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa. Jadi, jelas menunjukkan bahawa
murid-murid yang menghadiri kelas-kelas tuisyen mampu berjaya dalam pelajaran.
Akhir sekali,
dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam
pelajaran. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka.
Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada
ibu bapa yang mahu melihat anak-anak
mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Mereka akan
melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam
peperiksaan kerana pada mereka di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Mereka
akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak mereka agar
belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai. Selain motivasi, ibu
bapa akan sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi
peperiksaan. Mereka mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki
peperiksaan dan dapat menjawab soalan dengan mudah. Apabila anak-anak merasakan
diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-sungguh supaya harapan
ibu bapa dapat direalisasikan. Mereka berazam untuk menghadiahkan kejayaan
kepada ibu bapa sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Jadi,
jelas menunjukkan bahawa dorongan ibu bapa mempengaruhi kejayaan seseorang
murid dalam pelajaran.
No comments:
Post a Comment