Ramai yang berbicara tentang dadah,
tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri apakah yang
dimaksudkan dengan dadah? Dadah merupakan najis yang telah mengancam
negara kita sejak sekian lama dan isu penyalahgunaan dadah masih kekal
menjadi musuh utama negara. Dadah secara rationalnya digambarkan sebagai
sesuatu yang negatif dan perlu dijauhi. Penyalahgunaan dadah berlaku
apabila dadah digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan diambil oleh
seseorang tanpa pengawasan pihak perubatan. Dadah memberi kesan negatif
ke atas sistem badan, tingkah laku manusia dan sebagainya. Keburukan
yang diterima oleh pengambil dadah adalah lebih banyak berbanding
kebaikan dan manfaatnya yang boleh didapati. Jika diteliti, dadah
disalah gunakan untuk kepentingan diri sendiri seperti mengelakkan rasa
sakit, mendapatkan rasa segar, mengelakkan tekanan hidup, melarikan
daripada kesengsaraan dan sebagainya.
Masalah penyalahgunaan dadah
sebenarnya adalah masalah sejagat dan sebagai sebuah rantau yang
dikatakan banyak menerima perubahan serta pembangunan, rantau Asia
Pasifik termasuk Malaysia turut mengalami pelbagai gejala sosial.
Penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan remaja amat
membimbangkan dan ia berkait rapat dengan bermacam penyakit sosial
seperti pelacuran, lepak, dan perjudian. Perkara inilah yang banyak
menggugat dan memudaratkan keadaan sesebuah negara sama ada dalam bidang
ekonomi, sosio-budaya, politik mahupun keselamatan. Dengan lain
perkataan, kemajuan serta pembangunan yang kita capai dan kecapi selama
ini tidak akan berkekalan sekiranya masalah dadah tidak dapat diatasi
segera.
Oleh itu, pelbagai langkah
drastik perlu direncanakan dan dilaksanakan untuk memerangi ancaman
dadah. Dalam usaha untuk membendung masalah yang semakin gawat ini, ibu
bapa memainkan peranan yang cukup penting untuk memastikan anak-anak
mereka tidak turut terjebak dalam masalah ini. Mereka perlu meluangkan
masa secukupnya untuk bersama anak-anak. Sikap ambil berat dan
bertanggungjawab serta penyayang ini mampu mengelakkan remaja dari
terjerumus ke dalam maslah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu
menyediakan segala keperluan dan pendidikan baik yang formal mahupun
yang tidak formal dalam usaha membendung anak-anak mereka dari terjebak
ke perangkap penyalahgunaan dadah. Anak-anak hendaklah diberikan
pendidikan agama secukupnya serta diawasi setiap pergerakan dan
pergaulan mereka sejak dari kecil lagi. Sesungguhnya pembentukan sahsiah
remaja banyak ditentukan oleh institusi kekeluargaan.
Pendidikan pencegahan
pnyalahgunaan dadah di sekolah merupakan langkah awal untuk membendung
penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja. Seandainya tidak dibendung,
masalah ini akan terus mengancam dan menggugat kesejahteraan negara.
Pendidikan pencegahan pada dasarnya bertujuan untuk mendidik di samping
memberikan maklumat untuk menyedarkan remaja mengenai bahayanya
penyalahgunaan dadah sebelum ianya terlambat. Sudah tentu kita tidak
ingin melihat remaja terjerumus ke dalam jurang kehinaan ini. Peranan
pihak sekolah dalam membenteras masalah ini amatlah penting. Antara
program yang boleh dilaksanakan ialah Program Intelek Asuhan Rohani
(PINTAR). Program ini diatur untuk memberikan kesedaran kepada pelajar
mengenai risiko penyalahgunaan dadah dan secara tidak langsung mendidik
mereka untuk menjauhi najis dadah. Oleh yang demikian, peranan pihak
sekolah amat penting dalam menerapkan budaya remaja benci dadah dan
seterusnya membantu golongan ini menjauhi najis dadah sebelum ia menjadi
parah.
Di samping itu, pihak kerajaan
dan juga badan bukan kerajaan boleh memainkan peranan dalam usaha
mengurangkan penyalahgunaan dadah. Antaranya ialah melalui program Rakan
Muda, kem motivasi dan lain-lain program yang meliputi pelbagai
aktiviti. Hal ini demikian kerana melalui kem-kem ini para remaja dapat
memenuhi masa senggang mereka dengan aktiviti lebih berfaedah. Pihak
kerajaan juga boleh mengadakan kempen anti-dahad dan menyiarkannya
melalui media massa. Undang-undang dan hukuman bagi kesalahan
penyalahgunaan dadah dan mengedar dadah hendaklah diketatkan lagi bagi
mengelakkan masalah ini terus berleluasa. Agensi yang ditubuhkan seperti
Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) perlu memperkemaskan jentera mereka
memantau bekas penagih agar mereka tidak kembali menagih dadah kembali.
Selain itu, kesedaran diri
remaja penting untuk menjauhi najis dadah. Kesedaran diri ini penting
untuk membentuk minda yang positif agar sentiasa membuat sesuatu dengan
pemikiran yang rasional. Mereka hendaklah sentiasa diberikan ingatan
tentang pentingnya kehidupan pada masa hadapan. Remaja kini terlalu
terdedah dengan pergaulan sosial yang tidak sihat seterusnya
menjerumuskan mereka ke dalam kancah penyalahgunaan dadah ini. Oleh
sebab itu, kesedaran dalam diri amat penting. Mereka perlu tahu
membezakan yang baik dengan yang buruk. Tidak perlu mengikut telunjuk
kawan kerana 'ikut hati mati ikut rasa binasa'. Rakan yang berkualiti
juga adalah tunggak dalam membantu diri remaja menjadi berkualiti juga.
Konklusinya, semua pihak
termasuk ibu bapa, guru, masyarakat mahupun kerajaan perlu berganding
bahu memerangi gejala penyalahgunaan dadah ini. Oleh itu, marilah kita
bersama-sama berusaha memerangi dadah kerana dadah adalah musuh utama
negra dan dadah boleh meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan negara.
Sebagai pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara, biarlah kita
hidup bahagia tanpa dadah. Janganlah disebabkan 'nila setitik, rosak
susu sebelanga' kerana negara kita adalah contoh dalam kalangan negara
Islam. Kita tidak mahu masalah penyalahjgunaan dadah ini mencemarkan
nama baik bangsa amnya dan negara khususnya.
No comments:
Post a Comment