Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat penjajahan asing selama
446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan
kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata
dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai
anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang
mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar.
Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai
pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api,
komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia
yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya?
Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah
diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
.
..........Menurut
satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan
bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian
perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk
bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian
perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket
bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya
mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai
menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah
Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di
negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan
sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu,
kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat
seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu
membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau
menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”.
Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang
berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan
laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat
direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang
telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
.
..........Langkah
seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki
pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan
awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan
jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah
kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan
orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah
mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah
menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga
mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan
lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat
ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk
menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau
menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang
tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan
pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan
orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual
perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan
menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di
negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk
mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan
pengangkutan awam.
.
..........Pada
masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di
dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai.
Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan
mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran
televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan
perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam
pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih
banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para
penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu
menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan
menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali
detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti
alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan
penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut.
Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan
bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh
mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum.
Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik
perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam.
...........Bagi
mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin,
sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita.
Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang
berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan
pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah
kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi
had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering
diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap
mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar
mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan
dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang
berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang
tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti.
Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau
pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan
pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan
pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna
pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai
untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
.
..........Pihak
pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka
untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan
perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat
meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak
kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak
sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan
sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut
menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya
dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi
masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas
tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika
kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting
sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan
mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju.
Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu
ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat
menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini
memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan
di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan
kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut
perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap
“indah khabar dari rupa”.
.
..........Seperti
kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari
rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah
untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak
sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan
menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan
awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar
agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan
kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang
dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki
pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan
yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas
sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan
penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki
kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam
sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan
pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
.
..........Kesimpulannya,
pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di
negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan,
mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan
kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya
yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan
pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke
satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah
yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara
kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di
negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
No comments:
Post a Comment