......Semangat kejiranan merujuk
semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam
kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin
hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa
pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan
semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.
.............Langkah
awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di
kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal
keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini
memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam
semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu,
hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi
perhubungan antara jiran.
.............Selain
itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang
bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga
mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan
beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini.
Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur
berdasarkan majlis sebegini.
.............Kerajaan
turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran
semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan
iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat
terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat
kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan
semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting
dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.
.............Dalam
masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat
hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting
dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam
sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah,
paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar
dalam masyarakat kita.
.............Kepentingan
semangat ini sudah pasti dalam mewujudkan semangat perpaduan. Dalam
masyarakat berbilang kaum yang wujud di negara ini pemupukan konsep
perpaduan amat strategik. Sesuatu masyarakat sesebuah negara itu
terbentuk daripada individu yang saling berjiran sebelum berkembang
menjadi satu umah. Oleh itu, semangat kejiranan menjadi titik tolak
pembentukan konsep perpaduan nasional.
............Kesimpulannya,
semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang
dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat
ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua
harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?
No comments:
Post a Comment