Gunakanlah masa yang ada
Dengan sebaiknya
Kuatkanlah tekad di hati
Memajukan diri
Tiada kejayaan yang datang
Tanpa usaha yang gigih
Bersusah-susahlah dahulu
Bersenang kemudian
Jadilah warga yang berguna
Pada keluarga, masyarakat jua negara
Sebahagian
daripada lirik lagu ‘Remaja’ persembahan kumpulan nasyid Unic saya
petik untuk menggambarkan kemaslahatan peranan remaja pada masa ini.
Lagu yang menyuntik semanagat ini menyeru para remaja agar menggunakan
masa dengan sebaiknya dan mempunyai azam yang kuat demi memajukan diri
masing-masing . Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu
dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah yang terpuji , remaja
akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa.
Hal ini demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad
Shabery Cheek, belakangan ini, remaja begitu terdedah kepada pelbagai
bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau
desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun
konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat
liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan
antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja
kita. Remaja yang rata-ratanya mempunyai semangat inkuiri atau ingin
tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba sedaya upaya sehingga
berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke
pangkal lengan, perlu dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik
melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat mahupun kerajaan
memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara
ini lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan
terbilang. Negara memerlukan remaja yang mempunyai nilai mandiri dan
jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif
dan inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika
remaja yang diharap-harapkan akan sentiasa mendukung panji ‘Pemuda
Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’ kini dikaitkan dengan isu
kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam
masyarakat yang dilakukan pada usia remaja ini dikatakan
membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata
pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir
dengan saya memandangkan saya juga seorang insan yang bergelar remaja
justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji
agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.
Sebagai
seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan
mendalami ilmu agama dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang
mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta iaitu Allah swt. Tiada
ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan
pengetahuan Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui
pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains yang terkenal iaitu
Albert Einstein (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan
bahawa agama tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh.
Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan agama mempunyai hubung kait yang
sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak berlandaskan
atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan
oleh Allah swt. Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan
memahami Al-Quran, mengkaji hadis-hadis dan menyelami sirah nabi serta
para sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang
terkandung dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber
primer saya bagi membina pemahaman yang kukuh tentang kemuliaan dan
kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan
dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna
seperti memahami nilai yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan
sehari-hari . Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan,
keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina
peribadi mulia . Pengajaran daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah
mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap bejat atau
kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau
saya tidak memahami kandungan Al-Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa
dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai pengetahuan yang luas
berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa untuk
pergi ke perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan,
suasananya yang hening mampu menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa.
Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu membentuk sahsiah
diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi
bahasa, kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran
dengan penuh tertib serta matang berlandaskan akhlak Nabi Muhammad saw.
Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang petanda yang
tidak baik kepada generasi akan datang.
Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan
adalah dengan menumpahkan ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu
bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri saya kerana
sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak
yang penuh oleh mereka. Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya
bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan jerih payahnya selama
sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang
bertungkus lumus mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma
untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas yang dilakukan oleh
bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang
atau Si Malim Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya
akan taat kepada ibu bapa dengan cara mendengar dan menerima nasihat
yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang lapang.
Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan
meninggikan suara ketika memberikan pendapat malah saya akan berbincang
dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi menyelesaikan
segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang
keruh ambil yang jernih. Allah
telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap
anak berbuat baik kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui
firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang menyuruh kita berbakti
kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia dengan mentaati
ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan
menjauhkan diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan
kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah amalan wajib ditunaikan
setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada
Allah kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga.
Berbakti kepada ibu bapa membawa berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw.
yang bermaksud : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah
rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung
tali silaturahim." Jelaslah bahawa mentaati ibu
bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang
terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan
moral.
Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya
laksanakan adalah dengan menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran
saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya akan
menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka
kerana mereka telah bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu
berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi insan yang sebaiknya dan
berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak
berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan
mengira. Mereka tidak pernah mentertawakan kesalahan yang saya lakukan
malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati mutiara kata
cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana
tabiat buruknya tetapi bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”. Saya
akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk ajar daripada
guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan
berguna yang mampu mendaki menara gading . Bukan
sahaja guru ialah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat
dan pembimbing malahan guru adalah segalanya bagi seorang pelajar.
Segala kesusahan yang ditempuhinya dalam mendidik anak-anak muridnya
sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang guru
itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan
akhirat. Dengan ilmulah manusia diangkat menjadi makhluk termulia di
sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di muka bumi.
Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan
rasa hormat yang ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru,
pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru, saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.
Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan
rakan-rakan dan taulan. Secara perbandingannya, seorang remaja akan
meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya berbanding dengan ibu
bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta
yang dekat di hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan
dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya akan menjaga atau memelihara
hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya
berlainan agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai
sahsiah diri yang terpuji harus seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu
sensitif terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada
peristiwa 13 Mei 1969 yang telah mengorbankan banyak nyawa yang berpunca
daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan kepada rakan
yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah
membantu ketika saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini,
saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan bekerjasama dalam semua
bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.
Kita digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata
pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Saya
akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan,
nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain. Rakan-rakan juga
tidak akan berasa kekok apabila berkawan dengan saya sekiranya saya
tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya menjalinkan hubungan
baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam
kamus rutin hidup saya sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja
yang mempunyai sahsiah terpuji.
Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh
untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin mempunyai sahsiah diri
yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang negatif yang mampu
keruntuhan akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga,
bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah terpedaya oleh hasutan syaitan
yang membisikkan ‘kata-kata bermadu’ kepada anak Adam agar melakukan
dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan
umat manusia dek sebab Allah swt. telah mencampakkannya keluar dari
syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan merajai
hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam
daripada tanah. Kedegilan syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga
pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai kehidupan
menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata dikesampingkan. Saya tidak mahu
terjebak dalam kancah yang serba ‘menyesakkan nafas’ dan boleh
memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang cemerlang dan
memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad
Shabery Chee pernah menyuarakan pendapat bahawa , “Para
belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting dalam
mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada
bila-bila masa”. Akhlak
yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas,
mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga
hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’
orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain
akan dapat menilai diri kita yang sebenar”.
Kesimpulannya, gagasan
dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu akhlak
dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak
dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar
dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya yakin berlandaskan
lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat
membentuk sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri ini saya
yakin akan membentuk saya menjadi seorang yang beriman dan bertakwa,
mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang
amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara
kata ulamak tersohor Hamka akan saya jadikan pedoman dalam meniti
kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir rambutnya
setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya
teapi tidak pernah mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak
akalnya.” Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia yang bisa
menyesatkan saya daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati,
pemantapan akhlak, ilmu dan akidah akan terus menjadi pegangan
perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja akan lenyap agar
tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata
peribahasa ‘Sebab nila setitik rosak susu sebelanga’
No comments:
Post a Comment