Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat.
Panjang karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi
maklumat, faktor kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap
yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan
Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar
dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu
masalah darah tinggi dan kencing manis merupakan penyakit yang sering
dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak
juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang
dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka
pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200
000 orang pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya.
Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai
cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin
banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia,
Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat
kemudahan rawatan kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan
bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang?
Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada
jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya
hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?
Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang
lebih khusus di bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang.
Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang
ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut
adalah salah sama sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang
bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang mengandungi
semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara
seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan
terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan
berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan
merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan
kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan serat,
seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir
bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan
juga merupakan panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan
makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh
sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti
sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti
yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk
menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang
ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup,
bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup
sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.
Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan
memperkatakan gaya hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi.
Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan
aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan
minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada abad
milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam
sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau
remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan
menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki
gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan
rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan
aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta
selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi
dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan
aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan
pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan
stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu,
kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang
mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu,
badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen
penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan
kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-langkah
menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak
sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak
berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan
peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini
jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita
mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.
Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda
pelajar kelas pertama dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya
hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada
melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha
Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1
Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu
aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia
juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian
pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun,
pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan
pelajar masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan
penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk
penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan
berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan
manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan,
masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka
juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika
bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan
akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping
aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron
otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang
berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya
kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di dalam
kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih
bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada
badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat
dengan melakukan aktiviti bersukan.
Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa
pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap
kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat
Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan
Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam menyediakan
prasarana dan kemudahan kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini
boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama
ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar
sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan
kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia
merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat
rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat
perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu,
pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh
mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar.
Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap
dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita
melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga
bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal
perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif
kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat
rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal boleh
menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari
terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan
serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit
kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit
mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai
masalah diabetis yang kronik suntikan insulin akan dilakukan untuk
mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih
baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan
kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan
masyarakat dalam keadaan baik.
Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif
kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita
perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh
menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang,
melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan
rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan
dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap
kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan
pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang
akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan
Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting
sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu
lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.
chicken is a chicken
ReplyDeleteOkay I guess
ReplyDelete