Amalan berjimat cermat merupakan
sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat
Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin
meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia.
Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan
diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu
diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan
masyarakat.
............Antara
langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan
rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan
sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk
semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk
menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana
kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.
............Ibu
bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak
dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di
rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan
menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan
sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di
bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan
sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan
wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk
keperluan masa depan yang lebih gemilang.
............Masyarakat
juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah.
Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu
Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna.
Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas
untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap
tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat
kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.
...........Sebelum
membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih
dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan
berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan
masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan
mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut
dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan
pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar
berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.
............Kesimpulannya,
amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang
bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan
sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata
tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini.
Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan
berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira
peringkat umur.
No comments:
Post a Comment