Apakah itu kes buli? Kes buli
membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut,
menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh
seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa
dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan
menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan
membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan,
masyarakat dan lain-lain lagi.
............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”.
Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya.
Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang
kepada masalah kes buli ini.
............Antaranya
ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar
yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat
demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan
kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan
nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.
............Selain
itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin
kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa
yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah
mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.
............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang
ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika
kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan
terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli
kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya
kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan
pembulian mereka terhadap pelajar lain.
............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat
pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan
membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti
Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu
kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran
tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik
dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli
ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan
pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan
cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.
............Selain
itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan
secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari
para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti
kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu
inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.
............Namun
begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan
di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah
dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi
sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli
mangsanya.
............Pihak
sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab
Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar
akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah
masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan
para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada
rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.
............Langkah
yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana
para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan
kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar
tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini
sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli
di sekolah.
............Di
samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak
sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang
ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus
memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera
agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan
sekolah.
............Manakala,
pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga
harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan
sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes
ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan
berleluasa lagi.
.............Pihak
sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri
dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang
dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak
sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut
agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai
iktibar kepada pelajar yang lain.
............Selain
itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik
kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa
mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah
sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di
hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek,
menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.
............Tambahan
pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk
bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang
keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih
sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi
dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi
seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi
meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi
mengatasinya bersama-sama.
............Natijahnya,
selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan
tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai
Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin
semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang
penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata
peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’.
Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam
usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi
liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang
gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama
negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia.
No comments:
Post a Comment