Rakyat yang patriotik diibaratkan
seorang individu yang sanggup mengorbankan dirinya untuk kepentingan
negara tanpa banyak alasan. Antara tindakan yang dilihat sebagai cinta
akan negara meliputi amalan bekerja dengan rajin, tidak menimbulkan
masalah seperti terlibat dalam jenayah, dan membantu rakyat lain yang
miskin. Pihak media massa terutama akhbar telah menggunakan konsep
patriotik ini dalam banyak karya penulisan mereka sebagai cubaan untuk
menanam semangat ini dalam jiwa rakyat. Sebenarnya, ibu bapa mempunyai
peranan besar untuk memastikan semangat ini dimiliki oleh anak-anak
generasi muda Malaysia.
Tindakan yang paling mudah ialah
ibu bapa sering membawa anak melancong ke tempat bersejarah di negara
ini terutama ketika musim cuti sekolah. Anak akan lebih mengerti
perjuangan tokoh negara seperti Dato Bahaman dan Mat Kilau apabila
mereka dapat melihat sendiri kawasan pertempuran yang berlaku antara
pejuang negara dengan penjajah British itu. Mereka boleh membaca
penulisan yang biasanya menerangkan serba ringkas perjuangan pejuang ini
di kawasan bersejarah itu lalu menimbulkan rasa bangga dan berterima
kasih atas perjuangan tokoh tersebut. Jadi, anak akan lebih tinggi
semangat cinta akan negaranya apabila sering melawat tempat bersejarah
di negara ini.
Selain itu, ibu bapa sendiri
hendaklah memaparkan semangat nasionalisme yang tinggi kepada anak
sendiri kerana kita tidak mahu digelar umpama ketam mengajar anaknya
berjalan lurus pula. Pemaparan teladan ini dilakukan menerusi
percakapan, tindakan, penghayatan dan sebagainya yang menjurus ke arah
pengorbanan negara terhadap kehidupan mereka selama ini. Anak telah
diyakini akan meniru kelakukan orang tua mereka bak kata pepatah bapa
borek anak rintik terutama apabila sering didedahkan dengan kelakuan
patriotik sebegini. Jadi, teladan ibubapalah yang membawa penyemaian
benih nasionalisme dalam jiwa remaja kita tersebut.
Negara kita menyambut kemerdekaan
setiap tanggal 31 Ogos dan seharusnya ibu bapa membawa anak untuk
sama-sama melihat sambutan hari kebangsaan ini. Biasanya, kawasan
sambutan ini akan dipenuhi dengan pelbagai acara yang cuba meniupkan
semangat cinta akan negara ini dalam hati mereka yang hadir itu. Suasana
yang penuh dengan semangat nasionalisme ini pasti menimbulkan rasa
bangga dalam hati anak yang menontonnya itu. Oleh itu, amalan membawa
anak ke tempat sambutan hari kebangsaan boleh memupuk rasa cinta akan
negara.
Malah, ibu bapa zaman moden ini
boleh menggunakan teknologi untuk menghuraikan semangat patriotik kepada
anak mereka. Penggunaan teknologi seperti internet dan telefon pintar
membolehkan ibu bapa menyalurkan lebih banyak informasi tentang sejarah
negara dengan satu sentuhan sahaja. Ibu bapa boleh melayari internet
untuk mendapatkan maklumat tentang sejarah negara yang kadangkala begitu
mengelirukan itu juga. Sesungguhnya, penggunaan teknologi sebegini
mampu memudahkan tugas ibu bapa untuk memastikan anak mereka memiliki
rasa cinta akan negara.
Malahan, semangat cinta dan sanggup
berkorban demi negara ini boleh disemai dalam jiwa anak menerusi amalan
penceritaan ibu bapa. Kisah dahulu ketika negara belum mengalami
kemodenan harus diterangkan kepada pelajar agar mereka memahami erti
pengorbanan pejuang dan pemimpin negara yang telah membawa perubahan
besar itu. Anak yang selalu mendengar itu akan mula perlahan-lahan
menghargai jasa pejuang negara terdahulu lalu memasang impian untuk
turut membuat jasa kepada bangsa dan nusa pula. Lantaran itu, ibu bapa
yang bijak akan sering bercerita mengenai perubahan pembangunan negara
supaya anak memahami kehidupan yang dialami sekarang berpunca daripada
pengorbanan orang terdahulu.
Konklusinya, usaha memupuk semangat
cinta akan negara ini memang menjadi tugas ibu bapa. Golongan ini
perlulah mahir menggunakan peluang dan situasi yang wujud untuk
memudahkan anak memahami makna pengorbanan rakyat yang sebenarnya. Jika
ibu bapa masih mengamalkan sikap lepas tangan dalam menangani isu
semangat cinta akan negara ini sudah pasti generasi muda kita akan
hilang rasa hormat terhadap negara. Kita harus sedar semua yang berlaku
pada masa hadapan berpunca daripada pengorbanan orang terdahulu.
No comments:
Post a Comment