Kegiatan ceti haram sememangnya
tidak asing lagi pada masa kini. Malah, kegiatan ini juga sering
dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah berat seperti pengedaran dadah,
serta pil-pil khayal, sindiket pelacuran, dan pembunuhan. Kegiatan ini
sekiranya tidak diatasi dengan segera, boleh mengundang padah bukan
sahaja kepada masyarakat, bahkan juga kepada pembangunan negara. Kini,
dalam era yang lebih moden, kegiatan ceti haram lebih terkenal dengan
jolokan "along" dan kegiatan mereka kebiasaannya bertumpu di semua
bandar di negara kita.
............Isu
ceti haram boleh dilihat sebagai kegiatan sekumpulan manusia
menjalankan urusan meminjamkan wang haram hasil curian, pengedaran dadah
dan sebagainya kepada sesetengah masyarakat yang ‘terdesak’.
Pinjamannya mudah diperoleh dengan cepat kerana tidak memerlukan
cagaran, penjamin, serta tidak perlu mengikut prosedur tertentu, seperti
mana di institusi kewangan yang lain. Hal ini menyebabkan sesetengah
masyarakat tidak berfikir panjang untuk meminjam wang daripada ceti
haram.
............Kesempitan
hidup atau masalah beban kewangan juga turut menjadi faktor orang ramai
meminjam daripada ceti haram. Hal ini dikaitkan juga dengan kos hidup
yang tinggi, perbelanjaan yang melebihi pendapatan dan kerugian yang
dihadapi dalam perniagaan. Tambahan pula, bagi mereka yang sememangnya
berpendapatan kecil turut menganggap ceti haram sebagai jalan pintas
untuk penyelesaian masalah kewangan mereka. Lantas, mereka bertindak
dengan meminjam wang daripada ceti haram dan tidak memikirkan risiko
yang bakal dihadapi kelak.
............Namun
begitu, terdapat implikasi buruk daripada kegiatan ceti haram ini. Bagi
ceti haram, mereka akan menjejaki si penghutang sehingga ke ‘lubang
cacing’ dan akan memberikan amaran pertama, kedua dan seterusnya kepada
si penghutang. Sekiranya si penghutang tidak mampu untuk melangsaikan
hutangnya, maka ceti haram tidak akan teragak-agak untuk mencetuskan
keganasan berupa penderaan dan juga pembunuhan. Malahan yang lebih
menakutkan, ceti haram juga akan menjejaki keluarga si penghutang untuk
dijadikan tebusan bagi mendapatkan semula wang mereka. Jika tidak pun,
rumah mereka akan disimbah cat atau keluarga mereka dimaki hamun sebagai
cara untuk memalukan si peminjam agar melangsaikan hutang mereka.
Malangnya, tindakan ganas ini bagaimanapun masih tidak menyedarkan ramai
pihak agar menjauhi ceti haram berkenaan.
............Bagi
si penghutang, ancaman berterusan yang diterima daripada penceti haram
menyebabkan mereka semakin tertekan dan bagi mereka yang lemah dari segi
iman dan pendidikan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan membunuh
ahli keluarga sebelum bertindak membunuh diri sendiri supaya penceti
haram tidak dapat menjejaki mereka sekeluarga. Apa tidaknya, bunga yang
dikenakan oleh ceti haram bukanlah calang-calang tingginya. Pinjaman
seribu dua mungkin boleh mencecah puluhan ribu dalam tempoh yang singkat
sehingga menyebabkan si penghutang tidak mampu membayar hutang mereka.
Hal seperti inilah yang sepatutnya menjadi perkiraan utama kepada orang
ramai sebelum membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan ceti
terbabit.
............Intihanya,
masyarakat hari ini hendaklah bersatu tenaga bersama-sama pihak
berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah ini daripada berleluasa. Hal
ini perlu untuk menjaga keharmonian, keamanan dan kestabilan dalam
negara. Pihak berkuasa perlulah bertindak tegas kepada ceti haram dan
juga pihak yang membuat pinjaman kepada ceti haram berkenaan. Kerajaan
telah menyediakan pelbagai alternatif agar orang ramai meminjam daripada
institusi kewangan yang diiktiraf seperti pihak bank. Jadi, tidak
timbul isu mengapa kita tidak boleh melepaskan diri daripada cengkaman
ceti haram demi mengatasi masalah kewangan kita
No comments:
Post a Comment