.
..........Sudah
pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem
pengangkutan awam kita ialah kos atau tambangnya yang agak mahal. Kadar
tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan LRT adalah dianggap mahal
terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah serta menghalang
mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan lebih kerap.
Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT
agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya
menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke
pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh
kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun
menggunakan pengangkutan awam tersebut.
.
.
...........Selain
itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan dengan amalan
pengurusannya yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem
pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh diharap dari segi
ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan tidak
mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan
masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang
bakal mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi
isu utama akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut.
Masalah penjagaan bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam
kategori yang mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak
menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan
pengangkutan awam mematuhi jadual perjalanan malah pada masa yang sama
kegagalan untuk menjaga kualiti perkhidmatan pengangkutan awam turut
dirasai.
.
.
..........Kita
juga sering terdengar rungutan orang awam yang mengatakan bahawa
tumpuan perkhidmatan awam di negara kita tidak menyeluruh. Kemudahan
stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan tertentu yang kadang-kala
menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini bertambah rumit kerana
masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider bus” di kawasan
itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda
akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya di
antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan
tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu
kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan
awam yang lain pula. Dalam era globalisasi yang mengutamakan
kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan
masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus diadakan oleh
kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.
..
..
..........Malah,
pengangkutan awam turut turut terjejas akibat tindakan segelintir
pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan
ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu
pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan
kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin
mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang
bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau
membawa lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih
mengamalkan sikap ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan
sahaja membahayakan penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang
sama turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Justeru, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk
memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh
pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
.
..........Banyak
juga aduan yang sering kita baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan
orang awam tentang kekurangan tempat letak kereta di stesen LRT dan
komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya perancangan yang teliti
sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini bukan sahaja
menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah menghalang
orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah
stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan
tempat untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan
kenderaan mereka sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan
sahaja menyebabkan berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh
menyebabkan berlakunya kemalangan. Lebih malang pula, ada sebahagian
kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak polis biarpun masalah ini
timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit. Jelasnya, rungutan pengguna
pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan baik agar
pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari rupa”.
.
.
..........Kesimpulannya,
masalah pengangkutan awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh
pihak yang terbabit. Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan
tanpa sebarang tindakan, kita bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan
pengangkutan awam sebagai salah satu pengangkutan utama di negara kita
akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan untuk mengambil langkah awal
dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak berwajib tidak harus
bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat dalam media
massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas
dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
No comments:
Post a Comment