Kepentingan Memelihara dan Mengekalkan Bangunan Bersejarah di Negara Kita.
by : wakenalmaklu.blogspot.com
Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring
dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada
antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan
perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah
menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang
berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah
sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana
bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi.
Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita.
Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan
tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat
pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang
terdapat di negara kita.
.
……….Satu
daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah
bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada
sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut
Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk
memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah
mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh
penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat
dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu,
bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi
yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat
membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan
sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau
legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka
pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu
Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja
St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di
Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah
negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan
bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung
Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan
bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
.
……….Pendapat
sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu
diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen
lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya
remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis.
Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah
hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan
tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah
berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi
kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai
contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan
yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki
Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana
terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan
tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi
negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri
sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan
mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah
di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik
dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
.
……….Bukan
itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan
monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun
pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini
juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita
selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan
bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah
suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk
dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini
sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti
di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah
seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya
melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan
baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh
dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu,
pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat
monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati
keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam
muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu,
bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri
pelancongan negara.
.
……….Di
samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang
penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan
penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan
mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan
terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka
dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur,
seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam
era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat
penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor
dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi
khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu
pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan
air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja
Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati
seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper.
Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis
peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan
bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
.
……….Secara
tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda
generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan
khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset
yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.
Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih
menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan
membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan
atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula
perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu
dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang
merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah
dikenakan tindakan undang-undang.
No comments:
Post a Comment