...Saban tahun kita kerap membaca
berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan peniaga. Hal ini
berlaku kerana kejahilan pengguna sendiri yang tidak tahu peranan mereka
sebagai pembeli. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan
persatuan pengguna dalam menangani masalah pengguna di negara
ini.Sebenarnya, persatuan pengguna memainkan peranan penting untuk
membantu pengguna mengatasi masalah penipuan oleh penjual.
............Isu
kenaikan harga barang-barang mula mendapat perhatian media massa
terutama selepas kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja
kerajaan. Hal ini bertambah parah apabila berlaku kenaikan harga minyak
sehingga mengakibatkan penjual mengambil kesempatan menaikkan harga
barangan yang dijual. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan
pelbagai tindakan telah dilakukan terutama oleh kerajaan untuk
membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang hanya cakap-cakap angin sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.
............Dalam
menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan
dan menerangkan hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam.
Persatuan pengguna boleh menjalankan kempen bagi menjelaskan betapa
pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu
menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya
membeli keperluan yang penting dan bukan berbelanja mengikut kemahuan.
Kempen penerangan ini seelok-eloknya dijalankan dalam kalangan pelajar
terutama pelajar sekolah agar orang ramai terdidik tentang isu
kepenggunaan sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini membolehkan kesannya dirasai dalam jangka panjang apabila masyarakat terdidik dengan ilmu-ilmu kepenggunaan.
............Tambahan
pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan
yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama
peniaga ini boleh didedahkan di dada akhbar atau di media massa yang
lain untuk makluman orang ramai. Menyenaraikan nama peniaga yang tidak
bertanggungjawab di akhbar pengguna dapat mengelakkan orang ramai
daripada terus berbelanja di premis mereka dan secara tidak langsung
akan membimbangkan peniaga daripada menipu orang ramai. Maklumat seperti
ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka
sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.
............Selain
itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli
produk atau barangan mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna.
Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu oleh peniaga tetapi pengguna
tidak tahu tempat untuk mengadu. Antara kes penipuan peniaga termasuklah
dari segi harga, kualiti, kandungan mahupun tarikh sah luput barangan
yang dibeli malah barangan yang dijual sebenarnya indah khabar dari rupa.
Justeru, kehadiran persatuan pengguna dalam memberi nasihat kepada
pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka
amatlah besar kesannya. Keadaan ini boleh menyebabkan nasib pengguna
terbela dan tidak terus ditekan oleh golongan peniaga yang tidak
bertanggungjawab.
............Tambahan
pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya "pemerhati" senyap
di antara pengguna dengan peniaga. Maksudnya, peniaga akan lebih
berhati-hati sebelum cuba menipu pengguna kerana sedar setiap tindakan
mereka akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa yang sama
pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya.
Jadi, kewujudan persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran
sentiasa dalam keadaan baik kerana semua pihak sedar ada pihak ketiga
yang memerhatikan keadaan pasaran ekonomi negara.
............Malahan,
persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri.
Persatuan pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu
menjual produk kepada pengguna dengan harga yang lebih murah. Kemahiran
persatuan pengguna dalam hal-hal meletakkan harga barang sudah pasti
memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini
boleh dijadikan satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan
masyarakat. Dengan adanya penglibatan persatuan pengguna dalam bidang
perniagaan, pengguna berpeluang memperoleh sesuatu barangan keperluan
dengan harga yang lebih rendah dan kompetatif. Pertandingan sihat antara
persatuan pengguna dengan peniaga lain juga akan mewujudkan persaingan
sihat yang bakal mengawal harga pada tahap yang sentiasa rendah.
............Ringkasnya,
persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di
negara ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa
selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati. Cuma sejauh manakah
keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab biarpun ramai pihak
beranggapan bahawa badan bebas ini berfungsi sebagai payung untuk melindungi pengguna.
Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan
untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pengguna masa kini.
No comments:
Post a Comment